Menyambut Malam Nisfu Sya’ban
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 11 Safar 1437 bersamaan 23 November 2015 telah membuat keputusan seperti berikut:
Berdasarkan kepada hadis-hadis Nabi maka adalah wajar bagi umat Islam untuk tidak melepaskan peluang mengambil dan merebut rahmat dan kurniaan Allah dengan cara beribadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, membaca doa nisfu Sya’ban dan lain-lain lagi dengan memanjatkan kesyukuran atas limpahan nikmat Allah yang tiada terhingga banyaknya.
Oleh yang demikian, merayakan malam nisfu sya’ban dengan melakukan pelbagai ibadah yang membawa kepada keredhaan Allah dan keampunan adalah sunat/mustahab hukumnya.
Cara kebiasaan umat Islam di negeri Johor ini menghidupkan malam nisfu sya’ban ialah dengan membaca surah yasin tiga kali selepas solat maghrib dan setiap kali lepas membaca yasin mereka membaca doa. Pada bacaan yasin kali pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala dan pada bacaan kali ketiga diniatkan memohon rezeki yang halal. Cara begini memang digalakkan dalam Islam.
Justeru, menghidupkan malam nisfu sya’ban ini bukanlah satu amalan bida’h bahkan ianya tergolong dalam kategori perkara-perkara mustahabah/sunat.
Walaubagaimanapun, dalam keghairahan kita meraikan malam nisfu sya’ban ini dengan pelbagai cara ibadat, kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan perkara-perkara bida’h antaranya solat sunat nisfu sya’ban kerana ianya tiada sabit dalam syara’ sama ada dari nas al-Quran ataupun hadis Nabi ﷺ.