Wanita Haid Membaca Al-Quran Dan Tasmi’ Hafazan Al-Quran Bagi Tujuan Peperiksaan
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh teliti, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 14 Syawal 1437 bersamaan 19 Julai 2016 telah membuat keputusan seperti berikut:
Hukum wanita haid membaca al-Quran menurut qaul muktamad dalam mazhab Syafie ialah haram berdasarkan hadis Rasulullah ﷺ :
لا تقرأ الحائض ولا الجنب شيئا من القرءان
رواه الترمذي
Ertinya: Janganlah orang yang berhaid dan berjunub itu membaca sesuatu daripada al-Quran.
Walaubagaimanapun, adat budaya pada zaman sekarang dalam mempelajari al-Quran sudah berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu yang mana salah satu kemajuannya adalah ianya telah menjadi satu bidang yang diiktiraf di peringkat Negara dan juga antarabangsa.
Justeru, pandangan ulama’ kontemporari seperti mantan syeikh al-Azhar, Syeikh Jadul Hak Ali Jadul Hak dan selainnya yang mengharuskan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Quran dan membacanya atas faktor peperiksaan atau ujian adalah lebih sesuai untuk dijadikan hukum berdasarkan kepada kaedah darurat atau masyaqqah dan juga maslahah kerana waktu peperiksaan adalah terhad dan terbatas. Keharusan dalam maslah ini juga boleh disandarkan kepada qaul qadim Imam Syafie yang menyatakan bahawa “wanita yang sedang dalam haid harus membaca al-Quran”.
والله اعلم بالصواب