Menggunakan Air Wangian Untuk Menghilangkan Najis
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 11 Safar 1437 bersamaan 23 November 2015 telah membuat keputusan seperti berikut:
“Alat semburan pewangi berbentuk cecair yang dijual dipasaran tidak boleh digunakan untuk menghilangkan najis sama ada najis ringan (mukhaffafah), atau najis pertengahan(mutawasitah), atau najis berat (mughallazah) menurut mazhab Syafie. Kegunaannya hanya sebagai alat pewangi yang boleh menghilangkan bau busuk dan seterusnya mengharumkan persekitaran.
Oleh itu, mana-mana tempat yang terkena najis hendaklah disucikan dengan menggunakan air mutlak sehingga hilang ain najis tersebut dan juga sifat-sifatnya iaitu bau, warna, dan rasa. Selepas proses penyucian siap dilakukan, barulah boleh digunakan alat semburan pewangi yang bertindak hanya sebagai mengharumkan bau yang tidak menyenangkan untuk dihidu.
Berpegang dengan mazhab Syafie dalam isu ini adalah lebih sesuai kerana kita hidup di dalam sebuah negeri yang mempunyai banyak air yang bersih dan suci. Begitu juga, ia boleh mendidik masyarakat supaya tidak mengambil ringan dalam masalah penyucian najis ini yang ada hubungan kait dengan kesahan ibadat.