Wanita Menyusukan Anak Angkat Dengan Penggunaan Ubat Atau Suntikan Untuk Merangsang Pengeluaran Susu Badan
Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 20 pada 1 Rabiulakhir 1433H/ 23 Februari 2012M sebulat suara menerima hukum seperti berikut :
i. Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.
ii. Penggunaan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.
iii. Jumhur fuqaha’ juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh syarak seperti berikut:
i. Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan dan yang mengenyangkan;
ii. Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
iii. Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
iv. Muzakarah juga memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
v. Muzakarah juga memutuskan bahawa susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama’ mazhab Syafi'e dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh syarak.
vi. Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
Berdasarkan perbincangan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat iaitu:
i. Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan bayi tersebut disusukan oleh seorang perempuan yang lain sekiranya ibu kandung tidak mampu menyusukan sendiri bayinya.
Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’ yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafi'e dan Hanafi yang menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.
ii.Bagi wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mempunyai anak angkat, mereka boleh menyusukan sendiri anak angkat tersebut dengan menjalani kaedah rawatan terapi hormon penggalak susu badan.
iii.Hubungan anak susuan dengan ibu susuan yang telah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan adalah sama seperti hubungan dengan sebab keturunan (nasab). Walau bagaimanapun hukum-hukum yang berkaitan nasab yang lain seperti pembahagian harta pusaka dan wali nikah tidak termasuk dalam hubungan susuan.
iv. Jumhur fuqaha tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mestilah hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak angkat mereka. Malahan, wanita yang belum berkahwin atau berkahwin tetapi tidak pernah melahirkan anak, sekiranya dia menyusui seseorang bayi, maka sah hukum susuan ke atasnya.
v. Syarat-syarat bagi anak susuan (bayi yang menyusu) sebelum mereka sah (thabit) menjadi anak susuan ialah bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan, susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi dan umur bayi tersebut hendaklah tidak melebihi dua tahun qamariah.
vi. Jumhur fuqaha menyatakan bahawa terdapat dua kaedah yang menjadikan mahram iaitu dengan sebab susuan, iaitu samaada menyusu secara langsung (direct) daripada payudara atau secara tidak langsung (indirect) seperti penggunaan tiub, botol susu dan sebagainya.
vii. Bagi penggunaan alat-alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, maka bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syaratnya. Ini kerana susu tersebut menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang. Namun begitu, tidak sah sebagai anak susuan dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan.
viii. Tidak ada larangan bagi seorang wanita Islam menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga sebaliknya, seorang bayi beragama Islam boleh menyusu dengan wanita yang bukan Islam. Namun begitu, penyusuan tersebut tidak mengubah agama bayi yang disusui dan mereka tetap kekal dalam agama asalnya.