JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penggunaan penandaan berdakwat bagi pesakit kanser


Kategori: Perubatan
Tahun: 2012
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sarawak
Keputusan
:

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 21 pada 9 Zulkaedah 1433H/ 25 September 2012M sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:


Penggunaan tanda dakwat untuk rawatan pesakit kanser dengan menggunakan dakwat Holbein Drawing Ink yang telah disahkan kandungannya tidak mengandungi najis adalah diharuskan dan pesakit boleh berwuduk seperti biasa memandangkan dakwat tersebut hanya dimasukkan di bawah permukaan kulit.

 

Keterangan dan hujah:

i. Penandaan berdakwat bagi pesakit kanser adalah salah satu daripada kaedah perubatan yang memberikan kemudahan kepada pesakit kanser yang perlu mendapat rawatan di semua hospital di seluruh negeri di Malaysia.


ii.  Kajian oleh Jabatan Kimia Malaysia ke atas dakwat yang digunakan iaitu Holbein Drawing Ink bagi memastikan tiada najis atau sebarang kandungan alkohol mendapati bahawa:

a. Lemak atau minyak haiwan tidak dikesan dengan menggunakan “Teknik FAME menggunakan Kromatografi Gas (GC)”;

b. Mengandungi terbitan atau sebatian ethanol (alkohol).


iii. Dengan penggunaan kaedah penandaan berdakwat ini, pesakit tidak perlu menjalani proses penandaan secara berulang kali, memandangkan kesan dakwat tersebut akan berkekalan selama 4 – 5 bulan dan ia tidak menyebabkan dakwat tersebut terperangkap pada sel-sel yang dipanggil fibroblast (sel parut) yang berada di lapisan dermis kulit.


iv. Islam meletakkan kaedah "الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرَ" (kesukaran itu diatasi dengan mengambil sesuatu yang mudah atau senang). Kaedah ini meletakkan bahawa bebanan dengan perkara yang susah, dapat dimudahkan bagi keringanan sesuatu urusan. 


v. Dalam isu penyakit, maka rukhsah (keringanan) adalah lebih diutamakan kepada pesakit sehingga diharuskan untuk bertayamum kerana ditakuti akan menyebabkan penyakit merebak dan lambat sembuh sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:-

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”.


vi. Penggunaan tandaan berdakwat untuk pesakit kanser ini adalah berbeza daripada tatu yang diharamkan oleh Islam kerana tatu dicacah ke dalam lapisan kulit dan ia kekal selama-lamanya, manakala tandaan berdakwat ini hanya dicucuk dengan menggunakan jarum kurang dari 1mm.


vii. Istilah tatu yang digunakan bagi penggunaan tandaan berdakwat membawa anggapan bahawa ia adalah tatu yang diharamkan dan pengamal perubatan perlu menjelaskannya kepada para pesakit kerana walaupun istilah tersebut digunakan di peringkat antarabangsa, masih timbul keraguan di kalangan masyarakat. 


viii. Memandangkan dakwat tersebut hanya dimasukkan melalui suntikan jarum kurang dari 1mm di bawah permukaan kulit, maka tidak timbul isu tandaan tersebut menghalang air sampai ke anggota wudhu' atau menimbulkan mudharat sehingga pesakit perlu bertayammum.


Klik disini untuk mencetak