Rokok Elektronik (Vape)
Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Safar 1437 bersamaan 7 Disember 2015 telah membuat keputusan seperti berikut:
“Menghisap vape adalah haram kerana ianya satu amalan yang bertentangan dengan hukum syara’. Selain daripada menghisap vape, larangan ini juga meliputi apa-apa jua kegiatan yang melibatkan peranti vape dan barang-barang yang berkaitan dengannya”.
Keputusan tersebut adalah berdasarkan kepada hujah-hujah berikut:
Pertama: Dalil umum daripada al-Quran dan hadis Nabi
Salah satu dalil umum dalam pengharaman penggunaan rokok elektronik dan vape ialah kerana perbuatan tersebut memudaratkan tubuh badan. Ini bersesuaian dengan syariat Islam yang melarang perbuatan memudaratkan diri. Terdapat beberapa nas al-Quran dan hadis Nabi ﷺ yang melarang manusia memudaratkan diri sendiri. Keumuman dalil-dalil tersebut terpakai kepada kes penggunaan rokok elektronik dan vape. Antara dalil syara’ yang melarang tindakan-tindakan memudaratkan diri sendiri ialah:
i. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195
Ertinya: “... dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan...”
Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan (infaq) fi sabilillah, tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala perbuatan yang membawa kepada kebinasaan sebagaimana berdasarkan kepada kaedah:
“ أن الاعتبار بعموم اللفظ لا بخصوص السبب”
Ertinya: Bahawa sesungguhnya pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan ayat secara khusus.
ii. Hadis Nabi
لا ضرر ولا ضرار
Ertinya: Tiada kemudaratan (dalam syariat Islam) dan tidak boleh memudaratkan (tanpa hak).
Hadis ini juga menunjukkan pengharaman melakukan kemudaratan secara umum sehingga nas hadis ini dijadikan salah satu kaedah feqah.
Kedua: Dalil qiyas
Penggunaan rokok elektronik dan vape merupakan antara isu yang tidak ditetapkan hukumnya oleh mana-mana nas syara’. Justeru, penetapan hukumnya boleh dilakukan dengan menggunakan dalil qiyas sekiranya segala rukun dan syarat qiyas dapat dipenuhi. Penetapan hukum dengan menggunakan dalil qiyas adalah muktabar dan disepakati dalam keempat-empat mazhab feqah.
Penghujahan menggunakan qiyas dalam permasalahan rokok elektronik dan vape adalah melalui kaedah qiyas ke atas perbuatan meminum bahan-bahan beracun yang digambarkan seperti berikut:
Asal: meminum bahan-bahan beracun
Furu’: menggunakan rokok elektronik dan vape
‘Illah: memudaratkan atau membinasakan tubuh badan
Hukum: haram
Oleh itu, proses proses qiyas dalam isu ini dapat diamalkan kerana kempat-empat rukun qiyas telah dipenuhi. Justeru, secara kesimpulan boleh dikatakan bahawa hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram berasaskan kepada qiyas terhadap meminum racun.
Ketiga: Dalil maslahah
Penetapan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape juga boleh dilihat melalui dalil maslahah. Ini kerana, syariat Islam tidak dapat dipisahkan daripada maslahah sama ada mendatangkan kebaikan atau manfaat ataupun menghilangkan kemudaratan atau keburukan.
Maslahah ialah memelihara objektif syariah yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Justeru, setiap perkara yang mengandungi elemen pemeliharaan terhadap lima asas ini, maka ia adalah maslahah. Setiap perkara yang meluputkan asas-asas ini, maka ia adalah mafsadah, dan menggugurkan mafsadah merupakan satu maslahah.
Oleh itu, maka dapat disabitkan bahawa pengharaman penggunaan rokok elektronik dan vape adalah satu bentuk maslahah. Ini kerana penggunaan rokok elektronik dan vape membawa pelbagai implikasi dan kesan negatif seperti terdedah kepada penyakit berbahaya, menyakitkan orang sekeliling, membawa pembaziran, terdedah kepada penyalahgunaan dan sebagainya. Berdasarkan kepada dalil-dalil umum dan qaedah-qaedah dalam syara’ didapati bahawa implikasi-implikasi yang dinyatakan di atas adalah bersesuaian dengan hokum pengharaman.
Begitu juga, tanggungjawab pemerintah(ulul amri) yang mengambil keputusan pengharaman vape adalah kerana terdapat maslahah amah berdasarkan kepada kaedah fiqhiyah:
تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة
Ertinya: Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah bergantung kepada maslahah.
Keempat: Dalil Sadd dzarai’
Penghujahan berdasarkan kepada kaedah sadd dzaria’h adalah sebagai penyokong kepada hujah-hujah sebelum ini iaitu dalil umum, qiyas dan maslahah. Ini kerana penjualan peralatan vape di pasaran akan mendedahkan kepada penyalahgunaan seperti menghisap vape berperisa ganja, dadah, kanabis, ketum, syabu, nikotin dan sebagainya. Penyalahgunaan ini boleh membawa kepada kegiatan pengedaran ganja dan dadah berbahaya.
Selain itu, penggunaan vape ini akan mewujudkan masyarakat yang runtuh akhlak dan kepribadian khususnya di kalangan generasi muda, serta tidak ketinggalan juga wanita yang berleluasa menghisap vape tanpa ada perasaan malu dan segan.
Justeru, adalah wajar perkara-perkara yang sangat terdedah kepada kemudaratan yang besar ditutup melalui penetapan hukum haram berasaskan kepada kaedah sadd dzaria’h.
والله اعلم بالصواب