JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Menggunakan DNA Untuk Menentukan Status Nasab Anak Dan Tempoh Melaksanakan Li’an Untuk Menafikan Nasab Anak


Kategori: Munakahat
Tahun: 2014
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sarawak
Keputusan
:

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 26 pada 9 Safar 1436H/ 2 Disember 2014M sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:

 

1.1 Islam sangat menitik beratkan persoalan nasab dan apabila telah ada dalil yang mengisbatkan nasab, maka penafiannya tidak boleh diterima melainkan dengan kaedah li’an kerana li’an telah sabit melalui al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ dan merupakan suatu amalan ta’abbudiyah.

 

1.2  Penggunaan DNA dibenarkan dan dilaksanakan atas perintah mahkamah yang melibatkan kes pertelingkahan, ketidaktahuan nasab anak atas pelbagai sebab, kes kekeliruan atau pertukaran anak di hospital atau pusat jagaan, kes bayi tabung uji serta dalam kes anak-anak yang hilang atas sebab bencana alam dan sebagainya. Walau bagaimanapun, DNA tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab anak apalagi digunakannya mendahului kaedah li`an.

 

1.3  Para Fuqaha’ telah bersepakat bahawa penafian nasab anak melalui kaedah li’an perlu dilakukan dengan kadar segera (عَلَى الْفَوْر)ِ dan jika penafian nasab tidak dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan, maka gugurlah hak penafian nasab tersebut. Memandangkan penafian anak ini merupakan satu perkara yang penting dan bagi mengelakkan sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku, ia boleh ditangguhkan sehingga tiga hari dan penangguhan hanya boleh berlaku atas sebab-sebab keuzuran.

 

1.4 Tempoh segera bagi seseorang bapa yang hendak melakukan li’an bagi menafikan nasab anaknya adalah bermula daripada tarikh isterinya disahkan mengandung sehinggalah tiga (3) hari selepas bersalin. Penafian setelah tempoh munasabah tersebut adalah tertolak dan anak tersebut adalah sah dan sabit sebagai anaknya.

 

1.5  Garis panduan untuk menjalankan ujian DNA oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah diperketatkan lebih-lebih lagi dalam isu untuk menafikan nasab kerana DNA hanya sekadar qarinah atau sokongan semata-mata dan tidak boleh dijadikan bukti utama.

 

Klik disini untuk mencetak