Kegiatan Hizbut Tahrir Malaysia Yang Meragukan Khususnya Di Wilayah Persekutuan
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-107 yang telah bersidang pada 5 April 2018 telah meneliti kertas ini dan membuat keputusan dan mendapati fahaman atau doktrin yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.Berikut dinyatakan beberapa fahaman mereka yang menyimpang :
i. Pemerintah, Ahli Parlimen Dan Para Ulama Islam Kesemuanya Kafir Serta Harus Diperangi Kerana Menerima Sistem Kufur.
ii. Negara-Negara Islam Semuanya Negara Kafir Kerana Berhukum Dengan Sistem Kafir Dan Haram Menyertai Sistem Kerajaan Sekarang
iii. Mendakwa Sistem di Negara Islam Moden Sebagai Sistem Kufur
iv. Menghukum Demokrasi Sebagai Sistem Kufur
v. Menafikan Istilah “Al-Qadha’ Wa Al-Qadar”
Pandangan beberapa tokoh ulama’ dunia terhadap Hizbut Tahrir
Dr. Husamuddin ‘Afanah, Profesor Usul Fiqh, Universiti al-Quds
Dr. Husamuddin ‘Afanah menyifatkan Hizbut Tahrir banyak mengemukakan pemikiran yang menyalahi nas-nas syarak.
Antaranya pemikiran aqidah Hizbut Tahrir yang menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan cenderung kepada aqidah Mu’tazilah. Ia seperti pandangan Hizbut Tahrir yang mengatakan aqidah tidak sabit dengan hadis ahad, menyebabkan penganut Hizbut Tahrir menolak azab dan nikmat kubur.
Hizbut Tahrir juga berpegang dengan pemikiran tabanni yang mewajibkan penganut akur dengan sebarang fatwa yang ditentukan parti tanpa diketahui siapa yang mengeluarkannya. Antara fatwa syaz yang dikeluarkan oleh Hizbut Tahrir seperti aurat seorang wanita dengan mahramnya adalah aurat mughallazah, keharusan menonton filem seks, keharusan mencium wanita bukan mahram tanpa maksud berzina, haram mengasaskan pertubuhan kebajikan dan lain-lain.
Dr. Yusof al-Qaradawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia
Al-Qaradawi dalam catatannya ketika menziarahi Bandar al-Khalil, Palestin mengisahkan suatu perdebatan yang terjadi antara beliau dengan pengikut Hizbut Tahrir. Pengikut Hizbut Tahrir mengatakan mana-mana dakwah yang tidak berjaya selepas 23 tahun merupakan dakwah yang salah dan perlu menukar caranya. Al-Qaradawi menjawab dengan menegaskan dakwaan tersebut tidak benar kerana Nabi Nuh sendiri berdakwah selama 950 tahun dan tidak berjaya mengislamkan walaupun isteri dan anaknya sendiri. Ini tidak sesekali bermaksud Nabi Nuh gagal dalam dakwahnya kerana hidayah hanyalah milik Allah SWT.
Demikian juga penolakan Hizbut Tahrir terhadap amal kebajikan dan kemasyarakatan yang disifatkan sebagai amalan yang menjauhkan orang ramai daripada fokus menegakkan Khilafah. Hal ini dijawab oleh al-Qaradawi dengan membawakan ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith yang memerintahkan umat Islam agar banyak melakukan kebajikan dan memberi pertolongan sesama manusia.
Dr. Abdullah Azzam (Sadiq Amin), Pensyarah Universiti Universiti al-Malik bin Abdul Aziz, Jeddah.
Dalam bukunya berjudul, al-Da‘wah al-Islamiyyah: Darurah Shar’iyyah wa Darurah Bashariyyah, beliau telah membahaskan satu topik khas mengenai kepincangan Hizbut Tahrir. Antara yang dinyatakan oleh beliau adalah seperti berikut:
a) Hizbut Tahrir kurang menekankan aspek rohani sehingga mengabaikan perkara-perkara sunat dan zikir. Didapati hubungan mereka dengan al-Quran, hadis dan keiltizaman terhadap syariah agak lemah. Justeru, bukan sesuatu yang menghairankan jika terdapat pendakwah Hizbut Tahrir yang meninggalkan solat atau meremehkannya. Hal ini berpunca daripada sikap pengikut Hizbut Tahrir yang gemar berdebat. Beliau menukilkan kata-kata al-Mawdudi terhadap Hizbut Tahrir:
"لا تجادلوهم دعوهم للأيام يموتوا"
“Jangan kamu berdebat dengan mereka, biarkan mereka, beberapa hari lagi mereka akan terbenam (begitu sahaja).” (Lihat al-Da‘wah al-Islamiyyah: 99).
b) Hizbut Tahrir dalam sebarannya telah mengeluarkan beberapa hukum fiqh yang pelik. Antaranya adalah harus mencium wanita bukan mahram dan bersalaman dengannya, harus melihat gambar lucah, gugur solat bagi orang yang berada di angkasa lepas, gugur solat dan puasa di kutub utara atau selatan, harus kerajaan Islam membayar jizyah kepada kerajaan kafir, berzina dengan mahram seperti ibu kandung dikenakan sepuluh tahun penjara dan lain-lain (Lihat al-Da‘wah al-Islamiyyah: 101).
c) Dari sudut aqidah, Hizbut Tahrir menolak penghujahan dengan hadis Ahad dalam bab aqidah dan mengharamkan beriktikad dengan jazam akan kewujudan azab kubur dan kemunculan Dajjal (Lihat al-Da‘wah al-Islamiyyah: 108)
Tesis Master berjudul Fikar Hizb al-Tahrir: Dirasah Tahliliyyah, tulisan Ra’id Nasir Abu ‘Awdah di bawah seliaan Dr. Khalid Husain Hamdan, Universiti Islam, Gaza.
Tesis tersebut menyimpulkan Hizbut Tahrir seperti berikut:
a) Sebuah kumpulan yang jauh daripada disiplin ilmu Islam sehingga mereka tidak memiliki keahlian dalam persoalan aqidah, fiqhiyyah dan siyasah.
b) Tidak berkeahlian dalam bidang hadis sehingga menyebabkannya menolak penghujahan hadis Ahad.
c) Tidak mengambil aqidah yang benar bersumberkan al- Quran dan al-Sunnah.
d) Keliru dalam permasalahan qada’ dan qadar dalam isu perbuatan hamba.
e) Berpegang kepada Murji’ah dalam masalah iman dengan mengatakan amalan perbuatan tidak termasuk dalam erti kata iman.
Keputusan
Setelah meneliti kenyataan-kenyataan di atas berkaitan doktrin dan fahaman Hizbut Tahrir maka mesyuarat telah membuat keputusan menyekat dan melarang kegiatan pergerakan Hizbut Tahrir di sebarkan kepada masyarakat melalui apa jua medium sebaran.
Mana-mana orang Islam dilarang berpegang dan beramal kepada fahaman dan ajaran tersebut. Mereka yang telah mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT.
Tindakan : PMWP
Disahkan oleh :
(DATUK SERI DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI)
Mufti Wilayah Persekutuan
Merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan