JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Garis Panduan Khurafat Dan Azimat

Kategori: Akidah
Tahun: 2013
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sarawak
Keputusan
:

Mesyuarat Lembaga Fatwa kali ke 23 pada 29 Syawal 1434H/ 05 September 2013M sebulat suara menerima garis panduan tersebut seperti berikut:

 

GARIS PANDUAN KHURAFAT DAN AZIMAT MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

1.   TAKRIF KHURAFAT


1.1   Menurut المعجم الوسيط Juzuk 1 (hal.237), khurafat ditakrifkan sebagai: “الخرافة :الحديث المستملح المكذوب bermaksud: "Khurafat: Cerita-cerita mempesona yang dicampur adukkan dengan perkara dusta".


1.2   Menurut kamus المنجد فى اللغة والاعلام (hal.175):


الخرافة ج حرافات: الحديث الباطل مطلقا


Maksudnya: “Khurafah, jamaknya khurafat, iaitu sebarang cerita-cerita yang dusta”. Menurut Kamus Al-Marbawi (hal.169) pula, khurafat ialah: cerita karut (karut marut).


1.3   Dari beberapa definasi yang diutarakan, dapatlah dibuat kesimpulan seperti berikut:

“Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran islam”.


1.4   Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut dan dusta.


2.   TAKRIF AZIMAT


2.1   Takrif azimat pula menurut المعجم الوسيط (hal.621) ialah:"العزيمة:الرقية"  maksudnya: “Azimat: Jampi”.


2.2   Menurut Dr.Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Fatawa al-Mu'asirah (hal.189) ialah:


"أن يرقى الشخص ويعزم عليه بكلام لا يفهم :-الرقية-"


Maksudnya: “Bahawa seseorang itu berjampi dan berazimat dengannya dengan kata-kata yang tidak dapat difahami”.


2.3   Dalam kamus المنجد فى اللغة والاعلام (hal.276) juga disebutkan bahawa azimat ialah الرقية iaitu memohon pertolongan/ bantuan untuk memperoleh sesuatu perkara dengan menggunakan kekuatan yang melampaui tabi'i.


2.4     Menurut Kamus Dewan, (hal.70), azimat ialah: “Barang (tulisan) yang dianggap mempunyai sakti dan dapat melindungi pemakainya”.


2.4   Berdasarkan takrif-takrif yang diberikan di atas, kesimpulannya azimat ialah suatu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau untuk memudaratkan orang lain dengan menggunakan objek-objek dan ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa-kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi dan dipuja.


3.   CIRI-CIRI KHURAFAT DAN AZIMAT


3.1   Antara ciri-ciri khurafat ialah:


i.   Ianya tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada Al-Quran atau Hadith.

ii.   Ia merupakan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.

iii.  Ia bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan islam.

iv. Ia berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan yang memudaratkan dan menyeleweng dari akidah Islam.

v. Ia menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu.

vi.  Ia mempunyai unsur-unsur negatif pada akidah dan syariah Islam.


3.2   Antara ciri-ciri azimat ialah:


i.  Kepercayaan kepada kekuatan sesuatu benda bukan berdasarkan kepada nas-nas syarak sama ada Al-Quran atau Hadith.

ii.   Menjadikan tulisan-tulisan, rajah-rajah dan objek-objek tertentu sebagai tangkal.

iii. Menggunakan jampi serapah yang dicampuradukkan dengan perkara-perkara kufur yang boleh membawa kepada syirik.

iv.  Berjampi kepada objek-objek atau rajah-rajah yang dicampur aduk dengan ayat Al-Quran untuk tujuan tertentu.


4.   BENTUK-BENTUK KHURAFAT DAN AZIMAT

4.1   Antara bentuk-bentuk khurafat ialah:


i.  Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit, tongkat dan sebagainya.

                                          

ii.   Kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya.

                                         

iii. Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepung tawar, adat memuja pantai dan sebagainya.

                                        

iv.  Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan oleh petani-petani seperti bersemah (memuja semangat padi) dan membuang ancak di sungai dan laut dan bermain pantai.

                                         

v.  Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang seperti tidak boleh melihat bayi dimuka cermin kerana kelak ia akan mati di dalam air, tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala dan sebagainya.

                                        

vi.  Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu.

vii. Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang, kubur-kubur yang dianggap wali dan sebagainya.


4.2   Sementara bentuk-bentuk azimat pula ialah:

                                           

i.  Menjampi batu cincin, rantai baju, keria dan sebagainya untuk dijadikan pelindung diri seperti ilmu kebal, imu pengasih dan sebagainya.

                                          

ii. Membungkus tulisan-tulisan, rajah-rajah atau objek-objek tertentu dengan kain kuning untuk dijadikan tangkal.

                                       

iii. Menjampi tulisan-tulisan yang tidak diketahui maknanya seperti الصلاء dan di campuradukan dengan ayat-ayat Al-quran.

Contohnya:

ااا م اااا ه 2

الله لا اله الا هو الحى القيوم

                                      

iv. Berjampi atau berazimat menggunakan kata-kata dicampur aduk dengan kata-kata sihir dan kufur yang tidak diketahui maknanya.

Contohnya:

“Bikana, makna, Nabi Yakun, Numa Yakun Akulah sebenar-benar Zat Allah”.


5.   HUJAH DAN DALIL

5.1   Hukum Beramal Dengan Khurafat Dan Azimat


Islam sangat menitiberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti Al-Quran, Hadith, Ijma' dan Qiyas adalah ditolak oleh Islam.

Sabda Rasullulah S.A.W.:


عن عائشة رضى الله عنهما قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد). رواه أحمد و مسلم


Maksudnya: “Barangsiapa mengada-adakan dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakanya itu adalah tertolak”.

(Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim)

         

 Dan sabdanya lagi:


عن عائشة رضى الله عنهما قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد). رواه أحمد و مسلم


Maksudnya: “Barang siapa mengerjakan sesuatu pekerjaan yang tiada dalam agama kami, maka yang dikerjakan itu tertolak”.

                                               (Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim)


5.2   Dalam Islam, percaya kepada benda-benda yang dijadikan sebagai benda keramat seperti pokok, kubur, telaga dan sebagainya serta memuja, memohon pertolongan dan melepaskan nazar pada benda-benda berkenaan dan percaya ianya mempunyai kuasa selain daripada Allah S.W.T. adalah membawa kepada syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid kepada Allah.


5.3   Kepercayaan kepada sial, majal dan beramal dengan mandi, seperti mandi safar, jampi dan sebagainya untuk menolaknya adalah syirik dan merosakkan akidah. Rasullulah S.A.W. melarang keras orang yang mempercayai sial.

Sabda Rasullulah S.A.W.


عن ابن مسعود مرفوعا: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (الطيرة شرك الطيرة شرك وما منا إلا ولكن الله يذهبه بالتوكل). رواه أبو داود والترميذي


Maksudnya: “Percaya kepada burung itu syirik, percaya kepada burung itu syirik dan tiada seorang pun dari kita melainkan dilanda oleh perasaan itu, tetap Allah akan menghilangkannya tawakal”.(Burung yang disebutkan sebagai contoh termasuk seperti biawak, gagak, kelicap).

(Hadith Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)


5.4   Amalan memuja jin dan memohon pertolongan darinya seperti yang selalu dilakukan oleh sesetengah bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan. Orang yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tukang tenung adalah tergolong dalam golongan orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri. Ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. dalam Suruh Yunus, ayat 106:


Maksudnya: “Janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim(terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”.[1]

         

Sabda Rasullulah S.A.W.:


عن أبى هوريرة رضى الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (من أتى عرافا أو ساحرا أوكاهنا فصدق بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد صلى الله عليه وسلم) رواه أحمد والحكيم


Maksudnya: “Barang siapa yang menemui tukang tilik atau tukang sihir dan menayakan sesuatu kepadanya lalu terus mempercayai apa yang diperkatakannya, maka sesungguhnya ia telah mengkufurkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W.”.

(Hadith Riwayat Ahmad dan al-Hakim)


Sabda Rasulullah S.A.W. lagi:


عن عمران بن حصين قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (ليس منا من تطير ولا تطير له أو تكهن أوتكهن أو سحر أو سحر له).   

رواه الطبراني                                                            


Maksudnya: “Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya atau merenung nasib atau minta ditenungkan atau mensihirkan atau meminta disihirkan”.

(Hadith Riwayat al-Tabrani)


5.5  Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai perlindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:


عن ابن مسعود رضى الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (إن الرقى و التمائم و التولة شرك). رواه أبو داود وأحمد


Maksudnya: “Dari Ibn Mas'ud, Katanya: Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Sesungguhnya jampi mantera,tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik”.

(Hadith Riwayat Abu Daud dan Ahmad)


5.6   Jampi mantera juga merupakan azimat yang sering kali dilakukan.

Sabda Rasulullah S.A.W.:


عن عوف بن مالك قال: كنا ترقى فى الجاهلية، فقلنا يا رسول الله: كيف ترقى فى ذلك؟ فقال: (اعرضوا على رقاكم لا بأس بالرقى ما لم يكن فيه شرك). رواه مسلم

 

Maksudnya: “Dari 'Auf Ibn Malik, Katanya: Dahulu kami melakukan jampi pada zaman Jahiliyah, lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat tuan dalam hal ini? Beliau bersabda: Perlihatkanlah kepada jampi-jampimu itu. Tidak mengapa melakukan jampi-jampi itu selama tidak mengandungi hal syirik”.

(Hadith Riwayat Muslim)


5.7   Menurut Dr.Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fatawa al-Mu'asirah, sesuatu jampi itu harus dilakukan berdasarkan kepada tiga (3) syarat iaitu:

a)     Ia mestilah didasarkan kepada Allah S.W.T. dan nama-namaNya.

b)     Ia mestilah dituturkan dengan bahasa Arab dan kata-kata yang boleh difahami maksudnya.

c)     Beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya, tetapi dengan takdir Allah S.W.T.


5.8   Dalam amalan perubatan tradisional, terdapat jenis-jenis jampi yang dibolehkan (diharuskan) dan ada yang diharamkan. Jampi-jampi tersebut ialah:

a)   Jampi yang diharuskan. Jampi jenis ini ialah jampi yang menepati tiga (3)  syarat seperti yang telah dinyatakan di perenggan 8.

b)  Jampi yang diharamkan. Jampi yang ditegah dan diharamkan ialah jampi yang mengandungi unsur-unsur syirik, pemujaan jin, syaitan, menggunakan ilmu hitam atau sihir, menggunakan bahasa-bahasa yang tidak difahami atau yang bercampur aduk, seperti jampi yang dimulakan dengan sebutan Bismillah atau Alhamdulillah dan diseru nama-nama hantu dan jin, kemudian disudahi dengan ucapan “berkata-kata Lailahaillallah Muhammadar Rasullullah” atau seumpamanya.


6.   KESIMPULAN

6.1   Segala bentuk khurafat dan azimat sama ada yang berbentuk amalan atau kepercayaan boleh membawa kepada syirik dan bertentangan dengan akidah dan syariah Islam. Adalah diharapkan garis panduan ini dapat memberi panduan dan menjadi rujukan kepada seluruh umat Islam supaya tidak melibatkan diri dengan amalan-amalan dan kepercayaan yang boleh bercanggah dengan ajaran Islam.


[1] Semua terjemahan ayat al-Qur’an dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian al Qur’an. (2001). Kuala Lumpur : Darul Fikir.


Klik disini untuk mencetak