Skim Cepat Kaya Dan Seumpamanya
Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 24 pada 10 Jamadilawal 1435H/ 12 Mac 2014M sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:
i. Setiap pelaburan atau perniagaan dalam Islam mestilah mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan syarak dan bukan bergantung semata-mata kepada keuntungan.
ii. Selain itu, skim ini jelas bertentangan dengan kaedah fiqh Islam yang menyatakan sekiranya sesuatu kemaslahatan dan kemudaratan bertemu maka hendaklah diutamakan menolak kemudaratan dan sekiranya bertembung antara kemaslahatan individu dan masyarakat maka diutamakan kemaslahatan masyarakat. Sekiranya skim ini dibiarkan berterusan, ia boleh memudaratkan ekonomi sesebuah negara kerana orang ramai beranggapan mereka tidak perlu bekerja dan wang boleh diperolehi dengan mudah tanpa sebarang usaha yang kuat.
iii. Oleh hal yang demikian hukum Skim Cepat Kaya dan seumpamanya adalah haram kerana ia mengandungi unsur-unsur judi, riba, gharar dan tadlis dan umat Islam dilarang daripada terlibat dengan skim ini.