Isu-Isu Etika Dan Hukum Berkaitan Penjagaan Akhir Hayat (End Of Life Care) Dalam Konteks Di Malaysia
Setelah mendengar taklimat yang telah disampaikan oleh Dato’ Dr. Aisai bin Abd. Rahman (Ketua Jabatan Anestesiologi & Pakar Perunding Kanan Anestesiologi), Dr. Nik Azman bin Nik Adib (Pakar Perunding Anestesiologi&Intensivist), Dr. Asmah binti Mohd (Ketua Jabatan Perubatan & Pakar Perunding Perubatan), Dr. Nujaimin bin Udin (Ketua Unit & Pakar Neurosurgeri) dan Dr. Radhiah binti Abu Bakar (Pakar Perunding Pediatrik&Neonatologist) dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu berhubung kajian berkenaan isu-isu etika dan hukum berkaitan penjagaan akhir hayat (End Of Life Care) dalam konteks di Terengganu.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ke-8 Penggal Ke-12 yang bersidang pada 20 Syaaban 1439H bersamaan 6 Mei 2018 telah memutuskan bahawa memberhentikan penjagaan akhir hayat dan rawatan yang berkaitan baik secara langsung atau tidak langsung kepada pesakit yang telah disahkan tiada harapan untuk sembuh hukumnya adalah harus dengan syarat diperakui secara sebulat suara oleh tiga orang doktor yang pakar dalam penyakit berkenaan.
Keharusan ini juga berkait dengan tindakan-tindakan seperti berikut:
i. Mencapai keputusan ‘medical futility’;
ii. Tidak meneruskan resusitasi dan perawatan seterusnya;
iii. Memberhenti bantuan hayat; dan
iv. Perlaksanaan arahan awal perubatan.
Namun, bagi menjamin kesihatan pesakit agar lebih terjaga, maka pesakit tersebut masih boleh diteruskan rawatan seperti biasa mengikut Standard Operating Procedure (S.O.P.) yang telah ditetapkan oleh pihak hospital.
Keputusan ini dibuat berdasarkan Kitab Fatawa Muasirah, jilid 2, muka surat 525-529 karangan Doktor Yusuf al-Qardhawi.