Eutanasia Atau Mercy Killing
Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 24 pada 10 Jamadilawal 1435H/ 12 Mac 2014M sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:
i. Hayat seseorang berakhir apabila roh dicabut daripada jasadnya. Secara perubatan, ia ditentukan apabila jantung dan/atau otak telah berhenti berfungsi. Sebarang tindakan, dengan menggunakan apa-apa nama sekalipun, yang menyebabkan jantung dan/atau otak berhenti berfungsi sebelum ia sepatutnya berlaku menghentikan hayat adalah perbuatan membunuh.
ii. Eutanasia, dalam ertikata menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah dilarang dalam Islam. Pesakit yang meminta supaya dijalankan Eutanasia ke atasnya secara lisan, bertulis atau dengan apa-apa syarat boleh dikategorikan sebagai telah membunuh diri atau melakukan sesuatu untuk membunuh diri. Pengamal perubatan yang mengambil tindakan menghentikan hayat pesakit melalui apa-apa cara boleh dikategorikan sebagai telah membunuh seseorang. Wakil yang meminta agar hayat pesakit dihentikan dengan apa-apa cara boleh dikategorikan sebagai pihak yang menyuruh pesakit itu dibunuh.
iii. Seandainya rawatan diberhentikan setelah disahkan jantung dan/ atau otak berhenti secara hakiki dan hanya berfungsi kerana bantuan alat sokongan, ia terkeluar daripada maksud amalan Eutanasia kerana tujuan menghentikan hayat tidak lagi terlaksana. Tindakan seumpama ini dibolehkan kerana pesakit telah disahkan mati dan tidak memerlukan sebarang rawatan.
iv. Tiada ruang dalam Islam yang membolehkan seseorang itu memilih untuk mati dengan memberhentikan sebarang bentuk rawatan demi menamatkan kesengsaraan yang dialami. Berdasarkan kepada hadith ‘Ata’ bin Abi Rabah, si pesakit boleh memilih untuk tidak membuat rawatan tetapi ia bukan alasan untuk menamatkan kehidupan. Dia perlu bersabar menerima dugaan Allah SWT. Selain itu tiada dalil yang membenarkan hayat seseorang dihentikan demi mengurangkan kos rawatan.