JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Garis Panduan Pengurusan Zakat Asnaf Riqab Dan Gharimin

Kategori: Zakat
Tahun: 2014
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sarawak
Keputusan
:

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 24 pada 10 Jamadilawal 1435H/ 12 Mac 2014M sebulat suara menerima garis panduan seperti berikut:

 

Garis Panduan Pengurusan Zakat Asnaf Riqab Dan Gharimin

Negeri Sarawak


Satu garis panduan bagi memberi panduan kepada Tabung Baitulmal Sarawak berkaitan agihan zakat kepada asnaf riqab dan gharimin sebagaimana diputuskan oleh Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Ke-24 pada 10 Jamadilawal 1435H bersamaan 12 Mac 2014M seperti berikut:


"Berdasarkan pembentangan hasil kajian yang telah dilaksanakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia dan meneliti fakta-fakta dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh penyelidik, Muzakarah berpuashati dan bersetuju menerima hasil kajian dan Garis Panduan Pengurusan Zakat Asnaf Riqab Dan Gharimin: Satu Analisis Kontemporari yang telah dikemukakan oleh pihak penyelidik .


 

BAHAGIAN I

PERMULAAN

 

Tajuk ringkas

 

(1)   Garis panduan ini bolehlah dinamakan sebagai Garis Panduan Pengurusan Zakat Asnaf Riqab Dan Gharimin Negeri Sarawak.

 

Tafsiran

 

(2)  Dalam garis panduan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:

 

“Baitulmal” ertinya kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 45, Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001.

 

”Gharim” ertinya golongan yang layak mendapat bantuan zakat daripada asnaf gharimin iaitu individu yang berhutang untuk keperluan diri dan tanggungannya, Individu yang berhutang untuk keperluan masyarakat umum, individu yang menjadi penjamin dan individu yang ditimpa musibah seperti bencana alam.

 

”Hamba mukatab” ertinya hamba yang dijanjikan oleh tuannya boleh dibebaskan dengan syarat membayar sejumlah wang. Harta zakat diberikan kepada tuan kepada hamba tersebut bagi melangsaikan hutang tebusan tersebut.

 

“Hamba sahaya” ertinya hamba yang dibeli menggunakan harta zakat, kemudian dia dimerdekakan.

 

“Hutang” ertinya hutang untuk keperluan yang dibenarkan oleh syarak dan bukan hutang pada perkara dosa, maksiat, atau safah (melebihi keperluan).

 

”Individu yang berhutang untuk keperluan diri dan tanggungannya” ertinya golongan orang fakir yang sangat memerlukan, orang berhutang yang tidak mampu membayar hutangnya, dan orang yang menanggung kos bayaran diyat (denda gantian dalam hukuman qisas)."

 

“Individu yang berhutang untuk keperluan masyarakat umum” ertinya seorang yang menganggung satu tanggungan (seperti membayar diyat pihak yang berkonflik atau menanggung ganti rugi daripada konflik), seorang yang ditimpa wabak penyakit sehingga habis hartanya dan seorang yang ditimpa bencana.

 

“Individu yang ditimpa musibah seperti bencana alam” ertinya seseorang yang hartanya rosak kerana banjir, juga rosak kerana terbakar, dan seseorang yang mempunyai ahli keluarga tetapi dia tidak memiliki harta, lalu dia berhutang untuk memberi nafkah kepada ahli keluarganya."

 

“Orang Islam yang dieksploitasi sehingga diperhambakan” ertinya individu beragama Islam yang dikuasai oleh seseorang atau organisasi secara paksa yang diperlakukan secara tidak adil untuk manfaat pihak yang menguasai serta individu yang dikuasai itu tidak memiliki kebebasan mengurus keperluan diri. Contohnya, orang yang ditawan oleh musuh, diculik, buruh paksa, mangsa pemerdagangan orang, buruh kanak-kanak, orang yang dieksploitasi untuk menjadi pekerja seks, orang yang dieksploitasi kerana bebanan hutang.

 

“Penjamin” ertinya seseorang yang dapat memenuhi keperluan undang-undang untuk menjadi seorang penjamin dan bertanggungjawab membayar hutang peminjam jikalau beliau mungkir.

 

”Riqab” ertinya golongan yang layak mendapat bantuan zakat daripada asnaf riqab iaitu hamba mukatab, hamba sahaya dan orang Islam yang dieksploitasi sehingga diperhambakan.

 

”Undang-Undang Islam” ertinya Undang-Undang Islam mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanbali atau Hanafi sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis.

 

”Zakat” ertinya cukai daripada harta dan pendapatan seseorang orang Islam yang kena dibayar mengikut Undang-Undang Islam.


BAHAGIAN II

ASNAF RIQAB

 

Golongan Yang Layak

 

(3)  Seseorang yang layak mendapat bantuan zakat daripada asnaf riqab hendaklah terdiri daripada golongan:

(a)  Hamba mukatab;

(b)  Hamba sahaya; dan

(c)  Orang Islam yang dieksploitasi sehingga diperhambakan.

 

Syarat Kelayakan

 

(4)  Seseorang yang layak mendapat bantuan zakat daripada golongan seperti dalam perkara 3 (a), (b) dan (c) mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

(a)    beragama Islam;

(b)    memerlukan kepada bantuan kewangan;

(c)    dengan kehendak sendiri mahu keluar daripada eksploitasi;

(d)   dieksploitasi oleh individu lain, bukan terjerumus ke dalam kancah belenggu dengan kehendak diri sendiri; dan

(e)    bertujuan untuk menghapuskan penindasan dan eksploitasi terhadap asnaf riqab.

 

BAHAGIAN III

ASNAF GHARIMIN

 

Golongan Yang Layak

 

(5) Seseorang yang layak mendapat bantuan zakat daripada asnaf gharimin hendaklah terdiri daripada golongan:

(a) individu yang berhutang untuk keperluan diri dan tanggungannya;

(b) individu yang berhutang untuk keperluan masyarakat umum;

(c) individu yang menjadi penjamin; dan

(d) individu yang ditimpa musibah seperti bencana alam.

 

Syarat Kelayakan

 

(6) Seseorang yang layak mendapat bantuan zakat daripada golongan seperti dalam perkara 5 (a), (b) (c) dan (d) mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:

(a) Islam;

(b) Merdeka;

(c) telah sedia berhutang sama ada berhutang untuk keperluan diri, ahli keluarga, atau masyarakat, juga menjadi penjamin hutang;

(d) hutang tersebut adalah untuk keperluan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam;

(e) fakir iaitu tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melangsaikan hutang; dan

(f)  menjadi penjamin kepada yang berhutang

 

BAHAGIAN IV

PELBAGAI

 

Tanggungjawab Tabung Baitulmal Sarawak

 

(7)  Bagi memastikan seseorang pemohon itu tergolong di dalam asnaf riqab dan asnaf gharimin, pihak Tabung Baitulmal Sarawak bolehlah membuat penyiasatan yang perlu dengan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tujuan tersebut.

 

Bidangkuasa Melulus

 

(8)  (1)  Permohonan yang telah diterima oleh Tabung Baitulmal hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas bagi tujuan meluluskan permohonan tersebut.

(2)    Jawatankuasa ini setelah berpuas hati dengan keesahan permohonan mempunyai bidangkuasa untuk menolak atau meluluskan permohonan yang dikemukakan berdasarkan kaedah dan tatacara yang telah ditentukan olehnya.


Klik disini untuk mencetak