JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Melakukan Sertu/ Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2014
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sarawak
Keputusan
:

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 25 pada 13 Syaaban 1435H/ 12 Jun 2014M sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:


1.Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan sertu/ samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.

Keterangan/Hujah: 


i. Masyarakat Islam di Malaysia mengamalkan mazhab Syafi’i dalam kebanyakan urusan peribadatannya. Oleh itu amalan sertu/ samak sebanyak tujuh kali yang salah satu daripadanya menggunakan tanah telah diterima pakai secara umum oleh masyarakat, sama ada untuk menyucikan najis mughallazah yang terkena pada badan, pakaian, rumah dan sebagainya.

Hadis Nabi S.A.W.:

“Bersihkanlah bekas makanan kamu yang dijilat anjing dengan tujuh kali basuhan dan yang pertama daripadanya dengan tanah”.


ii. Berdasarkan zahir hadis hukum menyamak dengan tanah pada tempat yang terkena najis mughallazah, Nabi Muhammad S.A.W. tidak memperincikan bentuk dan keadaan tanah yang boleh digunakan untuk menyucikan najis mughallazah. Ini seolah-olah menunjukkan semua jenis tanah yang ada di atas muka bumi ini boleh digunakan untuk menyamak. Imam Al-Sharbini menyebutkan semua jenis tanah sekalipun debu pasir. Tanah yang dicampur dengan benda asing tidaklah menjadi halangan asalkan ia tidak mengubah keaslian tanah dan suci.


iii. Dalam kehidupan yang moden pada hari ini, penemuan-penemuan baru yang masih berteraskan prinsip Islam seperti penciptaan sabun sertu/ samak wajar dihargai kerana tujuannya untuk memberi kemudahan kepada umat Islam di mana saja berada.


iv. Dari aspek tanah yang digunakan, Rasulullah S.A.W. tidak pernah menyatakan lapisan tanah yang ke berapa perlu digunakan kerana pada asasnya tanah atau pasir adalah suci.


v. Bagi umat Islam yang tinggal di luar negara dan mudah terdedah dengan najis-najis mughallazah, penggunaan sabun ini adalah satu alternatif kepada penggunaan tanah yang kadang-kadang sukar diperolehi.


vi. Walaupun sabun ini dibenarkan untuk tujuan sertu/ samak bagi menggantikan tanah, tetapi kaedah pelaksanaan sertu/ samak tersebut masih terikat dengan hukum syarak.


vii. Penggunaan sabun tersebut dibenarkan dengan syarat pada urufnya kandungan tanah melebihi daripada bahan-bahan yang lain.


2.Mesyuarat mencadangkan proses penentuan kandungan sama ada sabun tersebut boleh digunakan untuk tujuan sertu/ samak adalah dibawah kawalan Bahagian Halal dalam mengeluarkan sijil halal. Oleh itu pengusaha sabun tersebut hendaklah terlebih dahulu mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Sarawak.

Klik disini untuk mencetak