JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Perdagangan Pertukaran Matawang Asing Oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex)

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2012
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sabah
Keputusan
:

Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil. 2/2012 telah bersidang pada 02 – 03 Julai 2012M / 12 – 13 Syaaban 1433H, bertempat di Babagon Board Room, Level 2, Ming Garden Hotel & Residence, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing Oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:


1.     Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platform elektronik adalah melibatkan item ribawi (iaitu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut :


Syarat-syarat umum jual beli :


i.        Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);

ii.       Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;

iii.   Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;

iv.   Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.


Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf 


i.       Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;

ii.     Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan

iii.      Akad jual beli al-Sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.


2.   Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi

perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba,

elemen al-saraf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur

perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi


3.     Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platform elektronik mengandungi unsur-unsur riba melalui penggunaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.


4.      Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platform elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang Negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.


5.   Muzakarah juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.




Klik disini untuk mencetak