Pengesahan Pernikahan Saudara Kita Yang Berasal Dari Pagan Dan Agama Lain Menurut Hukum Syarak
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil. 2/2012 telah bersidang pada 02 – 03 Julai 2012M / 12 – 13 Syaaban 1433H, bertempat di Babagon Board Room, Level 2, Ming Garden Hotel & Residence, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Pengesahan Pernikahan Saudara Kita Yang Berasal Dari Pagan Dan Agama Lain Menurut Hukum Syarak” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
1. Islam adalah agama fitrah yang memenuhi tuntutan dan mengatur seluruh urusan manusia.
2. Perkahwinan pasangan orang bukan Islam (termasuk ahli kitab dan selainnya) yang telah memeluk Islam pada waktu yang sama ataupun selagi wanita tersebut dalam tempoh ‘iddah tidak dinikahkan semula kerana perkahwinan terdahulu adalah sah mengikut agama, adat atau kebiasaan mereka.
3. Pembubaran perkahwinan terjadi terhadap lelaki yang telah memeluk Islam yang mengahwini perempuan yang haram dinikahi dengan sebab nasab, penyusunan dan persemendaan atau yang masih dalam tempoh ‘iddah orang lain.
4. Jika seorang lelaki telah berkahwin lebih dari empat sebelum memeluk Islam, mengambil kira perkara 2 dan 3, dia hendaklah memilih hanya 4 isteri dan menfarakkan yang selebihnya serta tidak diakadnikahkan semula apabila telah memeluk Islam.
5. Anak-anak Pagan dan selainnya yang hendak berkahwin yang dahulunya ibu bapa mereka Pagan (tiada agama) dan telah memeluk Islam serta perkahwinan tersebut diakui sah di sisi hukum Syarak, maka mereka boleh berwalikan nasab jika telah thabit nasab keturunannya.