JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Memberi Daging Korban Kepada Orang Bukan Islam

Kategori: Ibadah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

Setelah berbincang dari setiap sudut dan aspek, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 21 Dzulqaedah 1437 bersamaan 24 Ogos 2016 telah membuat keputusan seperti berikut:

i.       Menurut pandangan mazhab Syafie yang masyhur, tidak boleh diberikan daging korban sama ada korban sunat atau korban wajib kepada orang bukan Islam kerana ibadah korban adalah ketaatan kepada Allah Ta’ala. Pandangan yang masyhur ini adalah menjadi pegangan yang asas oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam masalah ini.


ii.     Walaubagaimanapun, sekiranya daging korban sunat tersebut dimasak kemudian dijamu sebagai salah satu hidangan dalam majlis kenduri atau sebagai bekal untuk dijamu bersama rakan sekerja dipejabat, yang mana mereka terdiri daripada orang bukan Islam yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam, maka dalam masalah ini bolehlah berpegang dengan pandangan ulama’ dalam mazhab Syafie seperti Imam Nawawi rahimahullah yang berpandangan bahawa dibolehkan daging korban sunat untuk diberi makan kepada kafir dzimmi yang miskin. Pandangan ini juga adalah pandangan sebahagian ulama’ mazhab Hanafi, bahkan dalam mazhab Hanbali harus dihadiahkan kepada orang kafir.


iii.   Namun dalam masalah agihan daging korban, hendaklah didahulukan kepada masyarakat Islam setempat yang memerlukan. Sekiranya terdapat lebihan daging yang tidak dikehendaki oleh masyarakat Islam dan dalam masa yang sama terdapat kafir dzimmi yang miskin yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam, maka bolehlah daging korban sunat tersebut diberikan kepada mereka atas konsep da’wah dan siasah syari’ah yang mana amalan ini bertepatan dengan ayat al-Quran yang menganjurkan berbuat baik kepada orang bukan Islam sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam surah al-Mumtahanah ayat 8:


Ertinya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku ‘adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku ‘adil.



Memberi daging korban sunat kepada kafir dzimmi yang miskin yang dikenali dengan sifat baik dan ramahnya dengan masyarakat Islam adalah termasuk dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh Allah Ta’ala sebagaimana yang terkandung dalam ayat di atas.

Selain itu, terdapat juga hadis yang boleh dijadikan sandaran untuk menyatakan bahawa pemberian daging korban sunat kepada kafir dzimmi adalah termasuk dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh syara’ ialah sebuah hadis daripada Abdullah Bin ‘Amru al-‘Ash r.a. yang mana telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata: Adakah kamu telah menghadiahkan daging tersebut kepada jiran kita yahudi? (beliau menanyakannya sebanyak dua kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:


ما زال جبريل يوصيني بالجار حتى ظننت أنه سيورثه


Ertinya: Jibril sentiasa mewasiatkan kepada aku (berbuat baik) kepada jiran sehingga aku menyangka mereka menjadi sebagai pewaris



والله اعلم بالصواب


 

Klik disini untuk mencetak