JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Kedudukan Kufu Pada Keturunan Terutama Dalam Perkahwinan Ahlul Bait Dengan ‘Ajam

Kategori: Munakahat
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

Setelah dilihat dan dibahaskan dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 25 Muharram 1438 bersamaan 26 Oktober 2016 telah mengambil keputusan seperti berikut:


i. Mengikut mazhab Syafie, kufu tidak termasuk dalam salah satu daripada syarat-syarat sah sesuatu perkahwinan. Namun begitu, kufu adalah syarat keperluan yang merupakan hak pengantin perempuan dan walinya. Justeru, jika salah seorang tidak bersetuju maka ianya harus memohon fasakh.


ii. Sebelum difasakhkan di mahkamah syariah, perlulah dibuktikan bahawa pemohon hendaklah mempunyai salasilah yang benar dari keturunan Nabi Muhammad ﷺ .


iii. Menjaga dan memuliakan keturunan Nabi Muhammad ﷺ adalah perlu diutamakan, akan tetapi jika bimbang berlaku fitnah dan kerosakan, maka diharuskan pernikahan antara ahlul bait dengan ‘ajam berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad ﷺ :


عن أبي حاتم المزني قال: قال رسول الله ﷺ : إذا أتاكم من ترضون دينه وخلقه فانكحوه إلا تفعلوه تكون فتنة في الأرض وفساد كبير. قالوا يا رسول الله وإن كان فيه؟ قال : إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فأنكحوه ثلاث مرات ( رواه الترمذي)


Ertinya: Jika datang kepadamu lelaki (untuk meminang anak perempuannmu) yang baik agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah mereka. Kalau tidak berbuat demikian, nescaya berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan besar, para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana kalau dia sudah beristeri? Baginda bersabda: Jika datang kepadamu lelaki (untuk meminang anak perempuan) yang baik agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah mereka. Nabi bersabda sedemikian sebanyak tiga kali.


Juga berdasarkan kaedah:

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Ertinya: Menolak keburukan didahulukan daripada mengambil kebaikan.



iv. Kufu bukan hanya mengambil kira keturunan sahaja, bahkan sejahtera daripada aib, penghayatan agama, berilmu, berakhlak mulia dan dari segi kerjaya juga perlu dilihat dan diberi perhatian kerana perkara ini juga dikehendaki dalam syara’.



والله اعلم بالصواب


 

Klik disini untuk mencetak