JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Mengenai Ajaran Perjalanan 21 Laduni Rahmatullah

Kategori: Akidah
Tahun: 2003
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Pulau Pinang pada 19 September 2003 telah membincangkan mengenai Ajaran Perjalanan 21 Laduni Rahmatullah (Ajaran Ismail bin Harun) dan memutuskan seperti berikut:


1. Bahawa Ajaran dan Fahaman Perjalanan 21 Laduni Rahmatullah (Ajaran Ismail bin Harun) adalah bercanggah dan menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan negara.


2. Fahaman dan ajaran ini perlu disekat keseluruhannya dari berkembang di Negeri Pulau Pinang berdasarkan percanggahan yang terdapat di dalam ajaran tersebut meliputi beberapa perkara tersebut:


2.1 Di antara Ajarannya:


2.1.1 Kumpulan ajaran yang dipimpin oleh Ismail bin Harun ini dinamakan Laduni kerana ilmu ajaran ini adalah suatu ilmu yang terlalu rahsia dan hanya diketahui oleh beliau (Ismail bin Harun) dan Allha sahaja.

 

2.1.2 Ismail mendakwa bahawa ilmu ini diberitahu oleh Allah s.w.t yang sentiasa berada dengannya secara terus sebagai saksi dengan gelaran Yang Mulia Rabbul Jalil Habibullah Haji Ismail As-Siddiq r.a.


2.1.3 Melalui ajaran perjalanan tersebut, Ismail mendakwa dapat memberi apa sahaja yang dipohon atau dipinta oleh pengikutnya dengan mendakwa bahawa (Ismail bin Harun) maha mengetahui.


2.1.4 Ismail dikatakan mula mendapat ilmu Laduni Rahmatullah ketika berumur 45 tahun dan mula mendapat ilmu tersebut pada waktu petang di mana beliau mendakwa bahawa Malaikat Jibrail telah datang dan menyampaikan wahyu kepadanya semasa beliau dalam keadaan sedar dan jaga.


2.1.5 Beliau mendakwa bahawa beliau diajar dan dididik oleh wali-wali Allah. Diantara wali-wali yang datang kepadanya ialah bernama Al-Mutalib-bangsa Arab, Tok Janggut, Lukman Al-Hakim dan Habib Nuh. Beliau juga mendakwa bahawa Rasulullah dan empat orang sahabat Baginda telah memberi bimbingan dan tunjuk ajar sehingga beliau mencapai tahap yang tertinggi iaitu Rabbul Jalil.


2.1.6 Kalimah "Salamun Khairan Kathira, Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahimmakutullah, Tiada hak bagiku yang berhak itu Allah, tiada kuasa bagiku yang berkuasa itu Allah, apa kataku kata Allah, Tiada lain hanya Allah" hendaklah dibaca dan diamalkan oleh pengikut sebagai zikir harian.


2.1.7 Mendakwa diri sebagai Hakim Kaabah Rabbul Jalil dan sesiapa yang hendak pergi menunaikan haji perlu menghakimkan terlebih dahulu kepada Ismail Harun untuk mendapatkan kepastian sama ada seseorang itu akan mendapat haji mabrur atau tidak.


2.1.8 Mendakwa Allah s.w.t. dan Rasulullah saw datang mengajar di rumahnya melalui tubuh badan dua orang anak muridnya iaitu Mat Deraman dan Ghazali bin Mohd. Hashim.


2.1.9 Pembelian Al-Quran mestilah dirujukkan kepada beliau untuk mendapatkan 'hikmah' melalui proses tertentu yang dijalankan oleh beliau sendiri.


2.1.10 Beliau mendakwa kepada pengikutnya sekiranya keluar dari ajaran ini, mereka akan mendapat bencana seperti mati atau gila dan bagi pengkut yang menarik diri daripada ajaran ini, mereka tidak akan diterima oleh Allah dan tempatnya adalah neraka.


2.1.11 Beliau juga mendakwa mempunyai kuasa untuk mematikan atau memanjangkan hayat seseorang itu apabila mempelajari ilmu perjalanan 21 Laduni Rahmatullah ini. Beliau turut mendakwa boleh berkomunikasi secara terus dengan Allah.


2.1.12 Mendakwa setiap manusia mempunyai roh syirik dan perlu membersihkan diri dengan cara mempelajari ilmu Ajaran perjalanan 21 Laduni Rahmatullah. Beliau juga mendakwa bahawa dosa seseorang itu akan terhapus sekiranya berguru dengannya.


2.1.13 Beliau mendakwa bahawa tanpa beliau dunia akan kiamat kerana dengan ilmu perjalanan 21 Laduni Rahmatullah ini mampu melambatkan kedatangan hari kiamat.


2.1.14 Setiap pengikutnya turut dianugerahi wali olehnya mengikut tahap kepatuhan ilmu yang dipelajari tersebut. Setiap tindakan dan geraklaku harian mereka mestilah merujuk kepada wali-wali tersebut.


2.1.15 Tidak membenarkan ahli-ahlinya membaca ayat Kursi dan Surah Yasin kerana mendakwa ianya tidak mempunyai apa-apa kelebihan.


2.2 Cara Pengajaran


2.2.1 Dalam ajarannya, mengatakan bahawa pertalian Nabi Khidir dengan Nabi Musa adalah seperti talian yang Mulia (Ismail Harun) dengan hubungan mereka (murid-murid).


2.2.2 Mengatakan Nabi Khidir iti ialah Allah kerana mempunyai Sifatullah.


2.2.3 Setiap pngikut yang berjumpa dengannya perlu bersalam dengannya yang duduk di atas katil. Tidak boleh duduk di sebelah kanannya kerana mendakwa ada Rasulullah saw dan di sebelah kirinya terdapat empat orang sahabat.


3. Oleh itu, mana-mana orang Islam yang mengajar, mengamal dan menyebar ajaan ini hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah s.w.t..


4. Mana-mana orang Islam atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran dab fahaman-fahaman tersebut adalah dilarang sama sekali kerana ia bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah -


(a) untuk mengajar,mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebakan ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam Ajaran dan Fahaman Perjalanan 21 Laduni Rahmatullah (Ajaan Ismail bi Harun).


(b) untuk menerbitkan apa-apa bentuk, versi atau variasinya atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media, atau apa-apa kaedah yang boleh membawa kepada penyebaran ajaran-ajaran tersebut; atau


(c) untuk menjadi anggota atau memimpin mana-mana golongan ajaran atau fahaman atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.

 

5. Fatwa di bawah seksyen 36 yang telah disiarkan pada 5 Disember 2002 adalah dimansuhkan.


Tarikh Warta: 25 September 2003

No. Warta: 289

Klik disini untuk mencetak