JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Kuantifikasi Dan Stabiliti DNA Babi Yang Diekstrak Daripada Daging Campuran Dan Produk Diproses Menggunakan Taqman Real Time Polymerase Chain Reaction Assay

Kategori: Makan dan Minum
Tahun: 2014
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Selangor
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (MJKFNS) kali ke-2/2014 yang bersidang pada 8 April 2014 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1435H berkaitan Fatwa Kuantifikasi Dan Stabiliti DNA Babi Yang Diekstrak Daripada Daging Campuran Dan Produk Diproses Menggunakan Taqman Real Time Polymerase Chain Reaction Assay memutuskan bahawa:


i. Bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan oleh kumpulan penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).


ii. Berdasarkan dapatan penyelidikan tersebut ahli mesyuarat mendapati bahawa DNA babi boleh menyerap masuk ke dalam produk makanan sama ada ianya disengajakan atau berlaku secara tidak sengaja dan kontaminasi DNA babi yang berlaku boleh diukur dan boleh diketahui sekiranya ia berlaku melalui sentuhan secara fizikal. Kontaminasi DNA babi tidak akan berlaku sekiranya daging babi dan bahan halal lain disimpan di dalam bekas yang tertutup kemas dan tiada sentuhan secara fizikal.


iii. Ahli mesyuarat berpandangan bahawa dalam penghasilan atau pemprosesan sesuatu produk halal, pencemaran atau kontaminasi produk dengan DNA bahan yang diharamkan seperti babi boleh dikawal dari peringkat awal penyediaan bahan mentah lagi dan sekiranya sesuatu produk itu didapati mengandungi DNA semasa proses akhir penghasilannya dan sebelum dipasarkan, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai halal berasaskan umum al-balwa.


iv. Walau bagaimanapun, dalam proses produk siap diproses dan telah dipasarkan kepada pengguna yang pada asasnya telah dihasilkan melalui pemprosesan serta menggunakan bahan-bahan yang suci dan halal, tetapi kemudian didapati telah berlaku kontaminasi DNA babi pada sebahagian produk, maka ahli mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa dalam keadaan ini ia adalah dikategorikan sebagai umum al-balwa dan hukum produk tersebut adalah merujuk kepada hukum asal iaitu halal dimakan kerana pencemaran atau kontaminasi yang berlaku adalah di luar kawalan dan tidak dapat dielakkan.


Sumber:


http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2014/611-fatwa-kuantifikasi-dan-stabiliti-dns-babi-yang-diekstrak-daripada-daging-campuran-dan-produk-diproses-menggunakan-taqman-real-time-polymerase-chain-reaction-assay

Klik disini untuk mencetak