Arahan Untuk Menyediakan Simpanan RM20 Juta Setiap Tahun Majlis Agama Islam Selangor (Mais)
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke 2/2007 yang bersidang pada 24 April 2007 telah membincangkan tentang Arahan Untuk Menyediakan Simpanan RM20 Juta Setiap Tahun Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Mesyuarat telah memutuskan:
(i) Mesyuarat berpandangan bahawa kaedah pengagihan zakat perlu diagihkan kepada penerima dengan kadar segera, tanpa ditangguh atau disimpan. Pandangan ini merujuk kepada kitab al-Fiqh Manhaji ‘Ala Mazhab al-Shafii, Jilid 1, halamam 313, yang menyatakan bahawa pemilik harta wajib mengeluarkan zakat secara segera apabila memenuhi syaratnya itu, harta itu sudah ada dan terdapatnya asnaf yang layak menerima atau pemerintah yang mengumpulkan zakat. Dalam konteks ini, Lembaga Zakat Selangor adalah berperanan sebagai wakil kepada pemilik harta untuk mengagihkan zakat kepada penerimanya.
(ii) Mesyuarat juga berpandangan bahawa sekiranya simpanan tersebut dilaksanakan, ia akan memberi kesan negatif terhadap pembayar zakat yang mengharapkan agar zakat yang dibayar sampai kepada penerima dalam jangka masa yang sepatutntya. Dari situasi tersebut, secara tidak langsung akan menjadi salah satu punca penurunan bilangan pembayar zakat di negeri ini yang menyebabkan matlamat kutipan zakat tidak mencapai sasarannya.
(iii) Mesyuarat turut mencadangkan supaya wang Baitul Mal (bukan zakat) agar mengambil peranan dalam perkara ini untuk memulakan simpanan dananya bagi memenuhi keperluan yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
Sumber: