PENGGUGURAN KANDUNGAN IBU HAMIL YANG DIJANGKITI ZIKA
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 1/2017 telah bersidang pada 21-23 Februari 2017M/24-26 Jamadilawal 1438H, bertempat di Bilik Likas, Hotel Horizon, Kota Kinabalu,Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Hukum Pengguguran Kandungan Ibu HamilYang Dijangkiti Zika” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
(i) Virus Zika adalah sejenis virus RNA daripada kumpulan Flavivirus yang dibawa oleh nyamuk Aedes terutamanya Aedes aegypti yang juga pembawa denggi, chikungunya dan Yellow Fever. Sehingga kini, terdapat 6 kes virus Zika yang dikesan di Malaysia di mana 2 daripadanya dihidapi oleh wanita hamil;
(ii) Kajian menunjukkan jangkitan virus Zika kepada manusia boleh menyebabkan sindrom Guillain-Barre, gangguan saraf yang boleh menyebabkan lumpuh dan kematian. Terdapat juga bukti saintifik yang mengaitkan jangkitan virus Zika dengan peningkatan kelahiran bayi yang mengalami kecacatan microcephaly;
(iii) Microcephaly ialah keadaan di mana lilitan kepala lebih kecil daripada normal. Ia ditafsirkan sebagai lilitan kepala di bawah 2.5th centile dari populasi penduduk atau 2 standard deviasi di bawah min (tengah) untuk minggu kehamilan tertentu;
(iv) Microcephaly yang disebabkan oleh virus Zika boleh dikesan pada bayi selepas bayi tersebut berumur 28 minggu ke atas iaitu umur janin telah melebihi 120 hari. Walau bagaimanapun, peratusan kecacatan ini akan berlaku kepada kandungan ibu hamil yang dijangkiti Zika juga adalah amat kecil. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Soares de Araujo JS et al pada tahun 2016 melibatkan 16,208 kelahiran di Brazil dari 2012 hingga 2015, didapati kejadian microcephaly adalah di antara 2% hingga 8%;
(v) Berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan, situasi penularan virus zika di Malaysia belum mencapai status kritikal atau darurah yang memberi kesan kepada penentuan hukum pengguguran kandungan;
(vi) Garis Panduan Pengurusan Jangkitan Virus Zika Semasa Kehamilan yang disediakan oleh KKM menyatakan Sindrom Kongenital Zika sahaja bukanlah satu indikasi untuk menggugurkan kandungan. Ini adalah selari dengan undang-undang dan peraturan semasa yang berkaitan dengan pengguguran di
Malaysia. Setiap kes yang melibatkan pengguguran perlu dikendalikan mengikut garis panduan Termination of Pregnancy (TOP) sedia ada;
(vii) Dari perspektif syarak, pengguguran janin yang sudah bernyawa iaitu mencapai usia 120 hari adalah diharamkan, dan ia termasuk dalam pengharaman li dhatih. Justeru, ia tidak boleh diharuskan kecuali dalam keadaan darurah, seperti situasi yang boleh mengancam nyawa ibu;
(viii) Kandungan yang belum bernyawa iaitu yang belum berusia 120 hari adalah haram digugurkan kecuali dalam situasi hajah dan maslahah. Pengharaman menggugurkan janin dalam keadaan ini adalah merujuk kepada tahrim al- wasail atau tahrim sad al-dhari’ah, maka ia boleh dikecualikan dalam situasi hajah.
1. Sehubungan dengan itu:
(a) Ibu hamil yang dijangkiti virus Zika adalah dilarang menggugurkan kandungan atau janin. Walau bagaimanapun sekiranya dengan meneruskan kandungan tersebut boleh membahayakan nyawa ibu maka ia diharuskan dengan alasan darurah;
(b) Sekiranya kandungan atau janin yang dijangkiti virus Zika boleh membawa kepada kecacatan yang teruk, dan ia belum mencapai usia 120 hari, maka ia harus digugurkan dengan alasan hajah dan maslahah;
2. Dalam membuat pertimbangan untuk menggugurkan kandungan atau janin yang dijangkiti virus Zika ini hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
(a) Mendapat pengesahan pakar-pakar perubatan yang dipercayai;
(b) Pengguguran tidak membawa kepada kemudaratan yang lebih teruk;
(c) Keputusan dibuat secara case by case;
(d) Mendapat persetujuan pasangan.
3. Mana-mana orang Islam yang melakukan pengguguran janin tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak adalah melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Sabah.
Tarikh Warta : 7 Disember 2017