Hukum Aqiqah Dan Qurban Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya
Mesyuarat Jamaah Ulama’ Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 02 Mei 2018 bersamaan 16 Syaaban 1439 Hijriah bertempat di bilik mesyuarat tingkat 4, Majlis Agama Islam Kelantan telah membincangkan isu mengenai Hukum Aqiqah Dan Qurban Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya.
1. Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan kertas kerja oleh Setiausaha mengenai perkara ini.
2. Isu ini dibincangkan kerana permintaan terhadap kambing dan lembu import di Negara ini meningkat terutama apabila menjelang Hari Raya Qurban. Ini disebabkan bekalan tempatan tidak mampu memenuhi permintaan yang meningkat ini. Oleh itu, haiwan qurban seperti kambing dan lembu terpaksa diimport dari negara-negara luar.
3. Namun begitu pihak syarikat yang menjalankan perniagaan import bagi haiwan hidup ini turut berdepan dengan masalah mengenal pasti tahap umur haiwan dengan tepat kerana tidak mempunyai maklumat dan data kelahiran mengenainya. Secara purata, kambing-kambing yang dibawa masuk ini mempunyai saiz yang besar dan berat, iaitu lingkungan 30 kilogram hinggalah 50 kilogram seekor. Masalah yang timbul ialah pihak syarikat tidak mengetahui umur kambing-kambing yang diimport secara tepat kerana pihak penternak dan pembekal di Australia tidak mempunyai rekod kelahiran ternakan yang tepat.
4. Setelah membincangkan perkara ini mesyuarat bersetuju membuat keputusan bahawa haiwan import yang ingin disembelih bagi tujuan aqiqah dan qurban hendaklah sebagaimana berikut:
4.1. Bagi unta disyaratkan umur memasuki 6 tahun.
4.2. Bagi lembu dan kambing disyaratkan umur memasuki 3 tahun.
4.3. Bagi biri-biri disyaratkan umur memasuki 2 tahun sebagaimana pendapat muktamad dalam Mazhab al-Syafie.
4.4. Oleh itu syarikat yang mengurus pembekalan haiwan import digalakkan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengenal pasti umur haiwan-haiwan tersebut.