Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut:
1.Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam:
a) "Bertentangan dengan akidah Islam" ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan
yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
Contohnya:
a. Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan
sebagainya;
b. Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama;
c. Meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota
tubuh;
d. Memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam;
e. Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan
Islam.
2.Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak:
Maksud "bertentangan dengan syarak" ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan
yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat
Islam.
Contohnya:
a. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan
agama;
b. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
c. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau
memecah kelapa;
d. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan
sebagainya.
3.Majlis tersebut tidak disertakan dengan "perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak
dan
budaya masyarakat Islam" di negara ini.
Maksud"bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam" ialah sesuatu perkara,
perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Contohnya:
a. Percampuran bebas tanoa batas dan adab sopan;
b. Berpakaian menjolok mata;
c. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
d. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.
4.Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam".
Maksud "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam" ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.
Contohnya:
a. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
b. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
c. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
5.Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum
menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.