Aliran Pemikiran Liberal : Hukum dan Implikasinya Kepada Islam di Malaysia
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 - 27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran Pemikiran Liberal : Hukum dan Implikasinya kepada Islam di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:
Aspek Akidah:
1.Berpegang kepada Konsep Pluralisme
Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama
berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri
terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada
Realiti Yang Agung.
2.Akal Manusia Adalah Wahyu
Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak
bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu yang tidak bertulis
adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan,
konteks suasana zaman.
3.Meragui Ketulinan al-Quran
Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi
pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad S.A.W. yang menjadi pembawa risalah
juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi
kerana sebenarnya yang ada hanyalah mesej budaya Arab.
Aspek Syariah:
1.Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran al-Quran dan al-Hadith
Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini.
Dengan slogan "membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran", aliran ini menggunakan pendekatan
takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan
kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia.Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud
melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan
sempurna.
2.Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat
Aliran pemikiran ini berpegang "membuka dan membebaskan" tafsiran al-Quran, sebagai alasan
untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses
dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
3.Mempertikai Kriteria dan Akhlak Kenabian
Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W.
dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke
atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut
untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra' dan Mikraj
dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda
yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.
4.Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam
Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta'dil dan
sebagainya yang telah secara Ijma' diterima sebagai metod dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh
aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat'ie dan hukum yang
tidak qat'ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merialisasikan konsep membuka dan
membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.
5.Sikap Terhadap Hukum
Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum
Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.
Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.