JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Usaha-Usaha Menghidupkan Semula Al-Arqam Melalui Syarikat Rufaqa Corporation Sdn. Bhd. dan Lain-Lain Syarikat

Kategori: Akidah
Tahun: 2006
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-75 yang bersidang pada 12 September 2006 telah membincangkan Usaha-Usaha Menghidupkan Semula Al-Arqam Melalui Syarikat Rufaqa Corporation Sdn. Bhd. dan Lain-Lain Syarikat. Muzakarah telah memutuskan bahawa:


"Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ajatran dan [egangan yang dibawa dan disebarkan oleh ahli jemaah Syarikat Rufaqa Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya mengandungi fahaman-fahaman yang menyamai Kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan. Ahli jemaah SRC juga didapati mengamalkan ajaran dan pegangan baru yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam. Penyelewengan-penyelewengan tersebut adalah seperti berikut:


1.Kesalahan yang bercanggah dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berdasarkan kepercayaan bahawa:


a. Haji Ashaari bin Muhammad adalah Sahibul Zaman (Mujaddid), manakala Sheikh Muhammad al-Suhaimi pula sebagai Imam Mahdi.


b. Haji Ashaari bin Muhammad mempunyai kelebihan meramal dan mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Setiap ramalan tersebut dianggap oleh ahli jemaah SRC sebagai sebahagian daripada jadual Tuhan untuk memberi kemenangan kepada mereka.


c. Haji Ashaari bin Muhammad mendapat ilmu secara langsung daripada Sheikh Muhammad al-Suhaimi dan Rasulullah S.A.W berkenaan perkara yang akan berlaku pada masa hadapan.


d. Mujaddid dan Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad) mendapat ilmu terus dari Allah (ilham, ilmu ladunni atau kasyaf) yang meliputi soal agama, dunia, hal ehwal semasa, pemerintahan, bina insan dan lain-lain. Ilham dan Tuhan datang kepadanya seperti air sungai yang mengalir.


e. Ahli jamaah yang banyak menghayati minta Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) dan dapat pula melaksanakannya adalah orang yang paling kuat hubungan mental dengan Abuya.

 

f. Minda Abuya (haji Ashaari bin Muhammad) itu sebenarnya adalah wahyu dari Tuhan.

Bagaimanapun, wahyu yang diturunkan kepada Abuya adalah 1/46 daripada kenabian.

 

g. Allah S.W.T. hendak mengangkat kembali Islam di akhir zaman dengan menghantar

Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad), Imam Mahdi (Sheikh Muhammad

al-Suhaimi) dan Nabi Isa A.S. yang telah tersedia oleh Allah untuk melaksanakan

jadual Tuhan.

 

h. Minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) difahami sebagai intisari al-Quran dan

hadith dan Abuya adalah orang Tuhan yang berupaya menyampaikan intisari

tersebut kepada pengikutnya untuk diamalkan. Dengan itu, tidak perlu lagi

merujuk kepada Quran dan Hadith kerana minda sudah lengkap.

 

i. Perjuangan ahli jamaah SRC dibantu dan dilindungi oleh para Rijal Ghaib yang

terdiri daripada para malaikat, jin Islam dan roh-roh muqaddas (roh suci para

ahli jamaah yang telah meninggal dunia).

 

j. Bertawassul kepada Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) ketika menghadapi sesuatu

kesulitan atau kecemasan, Abuya akan menghantar bantuan sama ada menggunakan

jin Islam atau dengan karamahnya.

 

k. Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) adalah manusia yang hebat. Malahan, lebih

hebat daripada kita mempunyai 10 orang ibu dan ayah kerana menurut mereka

hubungan dengan ibu bapa hanya terbatas di dunia sedangkan hubungan dengan

Abuya kekal sehingga hari akhirat.

 

l. Allah S.W.T. akan memberitahu Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) tentang musibah

sakit yang dialami oleh ahli jamaah SRC. Sekiranya sakit tersebut tidak

tertanggung oleh ahli jamaah, Abuya boleh meminta agar Allah S.W.T. meringankan

derita pada kadar yang mampu ditanggung oleh ahli jamaah.

 

m. Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) mempunyai kelebihan untuk menangguhkan ajal

sekiranya ahli jamaah yang sampai ajal itu masih banyak dosa.

 

n. Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) boleh meminta Allah S.W.T. menggantikan ajal

kepada ahli jamaah lain yang telah sempurna iman dan taqwanya.

 

o. Sewaktu ahli jamaah sedang nazak, Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) akan hadir dan berada di sebelah kanan kepada dengan mengajarkan talkin. Dengan itu, syaitan tidak akan menyesatkan ahli jamaah berkenaan.

 

p. Sewaktu ahli jemaah sedang disoal oleh malaikat di alam kubur, Abuya (Haji

Ashaari bin Muhammad) akan datang menemani dan menjawab soalan malaikat bagi

pihak ahli jamaah. Dengan itu, ahli jamaah berkenaan terlepas seksaan kubur.

 

q. Sewaktu di padang mahsyar, Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) manunggu-nunggu

untuk memberikan syafaat kepada para pengikutnya.

 

2.Kesalahan yang bercanggah dengan Syariah Islamiyyah adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa:

 

a. Ibadat sembahyang Jumaat pada mereka adalah tidak wajib kerana kerajaan yang

ada sekarang bukan kerajaan Imam Mahdi. Apabila Imam Mahdi muncul dan membentuk

kerajaan barulah ibadat sembahyang Jumaat menjadi wajib.

 

b. Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad) tidak memerlukan kitab dalam proses

pengajaran dan pembelajaran kerana ilmunya datang terus dari Allah S.W.T. dalam

bentuk ilham.

 

c. Orang yang berjuang dengan mempunyai minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad)

adalah lebih tinggi pahala dan darjatnya jika dibandingkan dengan mereka yang

tidak mempunyai minda Abuya dalam perjuangan.

 

d. Seorang ahli ibadah ('Abid) hanya mampu menjadi hamba biasa kerana tidak

mempunyai minda setaraf dengan wahyu dan tidak boleh menjadi khalifah.

 

e. Quran yang ada sekarang hanya tinggal mashaf dan lafaz sahaja. Roh Quran telah

dilantik balik oleh Tuhan dan hanya diberikan kepada Mujaddid (Haji Ashaari bin

Muhammad).

 

f. Sembahyang sehari semalaman hanya tiga waktu sahaja iaitu Subuh, sembahyang

jamak Zohor dan Asar serta jamak Maghrib dan Isyak.

 

g. Segala amalan baik di dunia tidak dapat menandingi amalan pengikut Abuya (Haji

Ashaari bin Muhammad) walaupun seseorang itu bersembahyang, berpuasa dan

berpuluh kali menunaikan ibadat haji.

 

h. Duduk semajlis dengan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) pahalanya lebih tinggi

daripada mengerjakan sembahyang selama 40 tahun atau sembahyang tahjud

sepanjang hayat.

 

i. Beramal dengan Aurad Muhammadiah sebagai satu cara untuk menjaga hubungan hati

atau rohani dengan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad). Dengan mengamalkan Aurad

Muhammadiah, ahli jamaah akan sentiasa dipantau dan dibimbing secara rohaniah

oleh Abuya.

 

j. Amalan Aurad Muhammadiah akan terbatal sekiranya ahli jamaah melakukan dosa

besar, tidak mengamalkannya tujuh hari berturut-turut, tidak taat dan yakin serta mengaibkan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad).

 

k. Mengamalkan zikir agung yang terkandung di dalamnya unsur tawassul, menyeru roh

orang yang telah mati serta mendakwa bahawa al-Sheikh Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi sebagai Imam Mahdi.

 

3.Kesalahan yang bercanggah dengan Akhlak dan Etika Bermasyarakat adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa:

 

a. Ulama yang ada sekarang adalah ulama kitab atau ulama hafalan yang bergantung

kepada kitab dan hafalan untuk mengajar. Manakala Sahibul Zaman pula, ilmunya datang terus dari Tuhan.

 

b. Orang yang menuntut ilmu agama sehingga ke peringkat PhD adalah tidak

bermanfaat kerana ilmu yang dituntut itu bersumberkan kitab lama dan

ketinggalan zaman.

 

c. Ilmu para ulama sekarang dengan mendakwa ilmu mereka tidak setanding dengan

ilmu orang Tuhan (Haji Ashaari bin Muhammad).

 

d. Allah melarang ulama yang berwatak Nabi berjuang melainkan setelah munculnya

mujaddid yang berwatak Rasul.


Berdasarkan kepada penyelewengan tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah bersetuju memutuskan bahawa ajaran pegangan dan fahaman yang dibawa dan dipegang oleh jamaah Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.


Oleh yang demikian, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengambil keputusan bahawa:


i. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.


ii. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, perubatan, pembinaan, pertanian, perladangan, telekomunikasi atau apa-apa aktiviti lain yang berhubungkait dengan SRC dan apa-apa ajaran yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan Al-Arqam adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.


iii. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan dan syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman Kumpulan Al-Arqam sama ada melalui Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn. Bhd. (SRC), rangkaian syarikat gabungannya atau mana-mana pertubuhan, persatuan syarikat yang mempunyai unsur-unsur persamaaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan Al-Arqam adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.


iv. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan dan syarikat yang mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang disebut dalam sub perengan vi (a),(b),(c) adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.


v. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan Al-Arqam dan ajaran, pegangan ayau fahaman ahli jamaah SRC atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan Al-Arqam dan ahli jamaah SRC adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam; atau


vi. Apa-apa jua bahan publisiti yang menonjolkan ajaran Kumpulan Al-Arqam dan ajaran, pegangan atau fahaman ahli jamaah SRC atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan Al-Arqam dan ahli jamaah SRC dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah diharamkan.

Klik disini untuk mencetak