JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

HUKUM PENENTUAN SABIT ANAK SUSUAN

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-111 pada 8-10 November 2017 telah membincangkan hukum penentuan sabit anak susuan bagi kes perkongsian susu ibu bagi bayi pra-matang di hospital bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Setelah meneliti hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa:


i. Cadanngan perkongsian susu ibu di hospital bawah seliaan KKM adalah khusus diberikan kepada bayi pra-matang yang sangat memerlukan susu ibu bagi keperluan nutrisi mereka. Jika mereka tidak diberikan susu ibu, akan menjejaskan perkembangan kesihatan mereka. Oleh itu, keperluan terhadap pemberian susu ibu kepada bayi pra-matang adalah sangat mendesak atau berada pada tahap darurat.


ii. Terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan para fuqaha' tentang pensabitan anak susuan melalui penyusuan susu ibu sebagaimana berikut:

(1) Pandangan ulama' Mazhab Maliki dan Hanafi adalah lebih umum ke atas isu pensabitan anak susuan. Mereka cenderung untuk mengatakan bahawa setiap susu yang masuk ke korongkong bayi, sedikit atau banyak disebut sebagai rodho'ah walaupun hanya sedikit sahaja dan menyebabkan sabitnya anak susuan berlaku secara mutlak sama ada secara langsung atau tidak langsung.


(2) Manakala pandangan ulama' Syafie dan Hanbali adalah lebih terperinci dan khusus dalam isu ini demi memelihara kemaslahatan ummah. Mereka bersepakat mengatakan bahawa syarat susu hendaklah sesuai dengan kadar dan bentuknya iaitu harus sampai 5 kali penyusuan secara sempurna.


(3) Terdapat pandangan dalam Mazhab Syafie dan ulama' Mazhab Hanafi iaitu Imam al-Sarakhsi yang mengambil kira kaedah perahan susu seperti berikut:-


(a) Menurut Mazhab Syafie, bagi mensabitkan anak susuan perlu lima (5) kali perahan dan lima (5) kali susuan dengan kaedah pengiraan berikut:-

(i) 1 kali perahan dengan 1 kali susuan dikira sebagai 1 susuan

(ii) 1 kali perahan dengan berbilang kali susuan dikira sebagai 1 susuan

(iii) 1 kali perahan susu tetapi diberi kepada bayi secara berbilang kali penyusuan dikira sebagai 1 kali susuan

(iv) Berbilang kali perahan dengan 1 kali susuan dikira sebagai 1 susuan (bagi wanita yang air susunya sedikit dan memerah susunya berbilang kali serta diberikan kepada bayi tersebut dengan dekali penyusuan, ia dikira sebagai 1 kali susuan)


iii. Berdasarkan kepada fakta-fakta yang dikemukakan, Muzakarah memutuskan adalah harus bagi perkongsian susu ibu untuk bayi pra-matang di hospital bawah seliaan KKM melibatkan kes yang khusus dan mendesak (darurat). Pandangan yang menyatakan bahawa tidak berlaku pensabitan anak susuan melalui penyusuan secara tidak langsung, boleh dijadikan asas hukum dengan mengambil kira kaedah dan prosedur (SOP) pemberian susu ibu untuk bayi pra-matang di hospital di bawah seliaan KKM.

Klik disini untuk mencetak