DATO' SYEIKH ABDUL HALIM BIN OSMAN

Pengerusi JKF Ke-2 (1991 hingga 1992)

Latarbelakang Diri Dan Pendidikan Dato' Syeikh Abdul Halim dilahirkan pada 31 Oktober 1910 di Tanjung Pauh, Jitra, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jitra dan kemudiannya mendapat ilmu keagamaan bermula secara pondok di Madrasah Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidik, Limbong Kapal, Alor Star, Kedah. Pada tahun 1927, beliau menyambung pengajiannya di Universiti Al-Azhar sehingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda. Kerjaya Dan Sumbangan Kepada Masyarakat Beliau pulang ke tanahair pada tahun 1937 atas titah Pemangku Raja Kedah iaitu YTM Tengku Mahmud sebagai memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan iaitu menjadi peneraju Maktab Mahmud sebagai Pengetua pertamanya pada 7 September 1937 hingga 30 Jun 1954. Kemudian, beliau menjawat jawatan Pendaftar Sekolah-sekolah Ugama Negeri Kedah pada 1 Julai 1954 hingga 12 Disember 1966. Pada 14 Disember 1966, beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua Jabatan Ugama/ Majlis Hal Ehwal Negeri Kedah hingga 31 November 1969 dan bersara pada 1 Disember 1969. Namun begitu, beliau menyambung semula tugas tersebut dari 2 Disember 1969 hingga 1 Disember 1970 dan terus mengambil tugas itu dari 2 Februari 1970 hingga 2 Mac 1971. Beliau bersara dari perkhidmatan Kerajaan setelah berkhidmat lebih kurang selama 33 tahun.Dato' Syeikh Abdul Halim telah dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada tahun 1983. Semasa beliau menjadi Yang DiPertua, beberapa rancangan telah diperkenalkan iaitu mengadakan kelas tadika di tiap-tiap buah masjid dan menggalakkan penuntut-penuntut sekolah menengah terlibat dalam syarahan agama serta menyentuh ekonomi Islam seperti Ibadat Wakaf. Dato' Syeikh Abdul Halim pernah terlibat dalam kegiatan menentang Malayan Union. Beliau merupakan antara Penaja Kesatuan Melayu Kedah yang diketuai oleh Allahyarham Tuan Haji Hussein Cik Dol dari Guar Cempedak dan turut menyumbangkan tenaga dan fikiran menubuhkan Persatuan Ulama Kedah. Sebagai memperingati dan menghargai segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan, beliau dianugerahi Bintang Cemerlang Kedah (B.C.K.) dan Dato' Paduka Mahkota Kedah (D.P.M.K.). Selain itu, beliau juga dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Kedah pada tahun 1983. Beliau telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Jun 1997 kerana serangan penyakit jantung. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya