DATO’ DR. ISMAIL BIN IBRAHIM

Pengerusi JKF Ke-4 (2000 hingga 2005)

Latarbelakang Diri Dan Pendidikan Dato’ Dr. Ismail bin Ibrahim telah dilahirkan pada 12 Mei 1937 di Kg. Matang Berangan, Mukim Pinang Tunggal Kuala Muda Kedah. Bapa beliau, Hj. Ibrahim bin Wan Hanafi merupakan seorang yang sangat dihormati oleh masyarakat setempat dan merupakan Penghulu Kg. Matang Berangan. Dato’ Dr. Ismail Ibrahim telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Fatimah Abd. Ghani, seorang bekas tenaga pengajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah dikurniakan dua(2) orang anak, Ahmad Zaki dan Ilham Zakiah. Kedua-duanya merupakan peguam lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Dato’ Dr. Ismail Ibrahim telah mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu Pinang Tunggal Alor Setar, Kedah. Setelah tamat sekolah rendah, beliau seterusnya ke Sekolah Arab Maahad Mahmood Alor Setar. Setelah tamat darjah lapan di Maahad tersebut, beliau kemudian menyambung pelajaran di Kolej Islam Malaya Kelang. Pada tahun 1961 setelah berjaya memperolehi Sijil Tinggi beliau menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang pengajian Bahasa Arab. Setelah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab, beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana(M.A) dalam bidang dan universiti yang sama dan telah berjaya mendapat Ijazah Sarjana pada tahun 1967. Beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat kedoktoran (Ph.D) di dalam bidang yang sama di Universiti St. Andrew Scotland dan telah berjaya memperolehi Ph.Dnya pada tahun 1975. Kerjaya Dan Sumbangan Kepada Masyarakat Dato’ Dr. Ismail Ibrahim memulakan khidmatnya sekembali dari Universiti al-Azhar Mesir setelah menamatkan Ijazah Sarjana sebagai guru agama di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani Kedah. Di sekolah inilah bermulanya khidmat beliau kepada masyarakat dan agama di Negara ini. Beliau juga pernah berkhidmat di Sekolah Aminuddin Baki Kuala Lumpur. Beliau juga pernah menjadi Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa Dan Pustaka(DBP) dari Mac 1967 sehingga pertengahan 1972. Sekembalinya ke tanahair setelah memperolehi Ph.D pada tahun 1975, beliau dilantik sebagai pensyarah di UKM dan seterusnya dinaikkan ke jawatan Professor Madya. Pada tahun 1978 hingga 1982, beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM. Pada tahun 1983, Universiti Islam Antarabangsa(UIA) telah memulakan operasinya dan beliau telah dilantik sebagai Pengarah Pusat Bahasa UIA sehingga 1991. Pada tahun 1991, beliau telah dipanggil oleh Dr. Mahathir Mohamad (Tun) Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu meminta beliau merangka dan menyediakan kertas konsep penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Setelah tertubuhnya IKIM, beliau sekali lagi diberi kepercayaan yang tinggi untuk menerajui institusi tersebut dengan dilantik sebagai Ketua Pengarah IKIM yang pertama. Prestasi IKIM yang diterajuinya sehingga 2004 telah menarik minat dunia antarabangsa bagi membicarakan isu-isu Islam secara global. Pada ketika itu, selain menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah IKIM, beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli MKI dan Presiden Majlis Ulama Malaysia. Beberapa jawatan lain yang turut dipegang oleh beliau ialah Profesor Adjunct di Universiti Industri Selangor (UNISEL), Ahli Lembaga Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Ahli Lembaga Pengelola DBP. Dato’ Dr. Ismail Ibrahim telah menghasilkan pelbagai karya dan penulisan termasuk buku-buku, kertas kerja dan rencana-rencana yang disiarkan di akhbar-akhbar tempatan. Beliau sangat aktif menulis dan bermula tahun 1992, Kumpulan Utusan Malaysia telah memberi satu ruangan tetap kepada beliau bagi menyampaikan pandangan, cetusan minda dan komen terhadap apa jua isu. Di antara bahan penulisan beliau ialah: Pemikiran Dr. Mahathir Tentang Islam:Utusan Publication 2002 Isu-isu Semasa Dari Perspektif Islam:Institut Kefahaman Islam Malaysia, 1999 Islam dan Pemindahan Organ:Institut Kefahaman Islam Malaysia, 1998 Ilmu dan Kecemerlangan dari Perspektif Islam:Institut Kefahaman Islam Malaysia, 1994 Pada tahun 2005, Dato’ Dr. Ismail Ibrahim telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi bagi menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad yang bersara. Beliau menyandang jawatan tersebut sehingga Februari 2008. Sekembalinya ke Malaysia, Dato' Dr. Ismail Ibrahim telah dilantik sebagai Penyandang Kerusi Sheikh Abdullah Fahim di Institut Islam Hadhari UKM pada 1 Julai 2008. Berdasarkan ketokohan dan pengalaman luas beliau, Kerajaan Malaysia telah melantik beliau sebagai salah seorang Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia yang telah ditubuhkan pada Julai 2009.