DATO' WAN ZAHIDI WAN TEH

Pengerusi JKF Ke-6 (2017 hingga sekarang)

Latarbelakang Diri Dan Pendidikan Dato' Wan Zahidi Wan Teh telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke enam . Beliau dilahirkan pada 25 Julai 1942 di Kampung Kerunai, Grik, Perak dan kini beliau menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor. Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Naily Siham Abu Salim yang berasal dari Medan, Indonesia. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Kerunai, Grik, Perak. Di peringkat menengah pula, beliau menyambung pengajian di Madrasah Ehya al-Shariff, Gunung Semanggol, Perak, Madrasah Mashhor al-Islamiah, Penang dan seterusnya di Madrasah Muhammadiah, Kubang Bembau, Pasir Mas, Kelantan. Kemudian beliau menyambung pengajiannya di peringkat tinggi dalam Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1971. Pada tahun 1972 pula, beliau mengambil Diploma Am Pendidikan di Universiti Ain Syam, Kaherah dan seterusnya Ijazah Sarjana (MA) Usul Fiqh di Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1974. Kerjaya Dan Sumbangan Kepada Masyarakat Beliau pernah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan bermula 21 Mac 2005 sehinggalah 20 Mac 2014. Sebelum ini, beliau telah menjawat beberapa jawatan, antaranya ialah sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dari tahun 1975 hingga 1982, Pegawai Khas kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba dari tahun 1986 hingga 1988, Pensyarah Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam (UKM) dari tahun 1993 hingga 1994, Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim bermula tahun 1994 hingga 1997, Pakar Perunding Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dari tahun 2000 hingga 2001 dan Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan bermula tahun 2002 hingga 2004. Beliau telah banyak menyumbang khidmat dan jasa kepada masyarakat dan negara. Antara penglibatan beliau dalam kerja-kerja kemasyarakatan ialah menjadi Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Untuk mengenang jasa dan bakti beliau kepada masyarakat, negara dan ummah, beliau telah dianugerahkan gelaran Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) dan juga anugerah Panglima Mahkota Wilayah pada tahun 2009 yang membawa gelaran Datuk. Beliau juga pernah dinobat sebagai penerima Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 1437 Hijrah/2015. Beliau juga banyak menyumbangkan jasa beliau dalam penulisan dan penerbitan. Antara risalah hasil penulisan beliau ialah seperti Masjid sebagai Institusi di bawah Hak Sultan tahun 2006 dan Nasihat sebagai Kaedah dalam Hubungan antara Ulama', Umara' dan Ummah pada tahun yang sama.